Grapes
 

Anggur Segar California dan Kesihatan


Anggur segar dalam segala warna – merah, hijau dan hitam – bukan sahaja cantik dan klasik, tetapi juga enak dimakan. Selain itu, anggur mengandungi campuran antioksidan semula jadi yang membantu menyokong kesihatan jantung dan menawarkan pelbagai manfaat kesihatan yang lain. Tambahan pula, hasil penyelidikan makmal yang baru diperolehi menunjukkan aktiviti anti kanser dan potensinya untuk membantu mengekalkan kesihatan otak.

Bagaimana anggur menjaga kesihatan jantung?
Hasil kajian menunjukkan bahawa anggur boleh menyokong kesihatan sistem kardiovaskular dengan cara berikut:

  • mencegah pengumpulan platelet (yang boleh menyebabkan pembekuan darah)
  • meningkatkan fleksibiliti dan fungsi arteri
  • mengurangkan keradangan
  • menghalang pengoksidaan kolesterol LDL "jahat"
  • menurunkan tekanan darah

Ciri Antioksidan
Anggur mengandungi banyak polifenol, termasuk flavonoid, dan juga merupakan satu daripada sumber utama resveratrol, yang terdapat dalam kulit anggur segala warna.  Resveratrol terkenal kerana ciri antioksidan dan antiradang. Flavonoid anggur terdapat dalam semua bahagian anggur, termasuk kulit, isi dan bijinya.  Sebatian anggur semula jadi yang didokumentasikan berjumlah 1610, termasuk karotenoid lutein dan beta-karotena. Mungkin terdapat beratus-ratus lagi sebatian yang belum dikenal pasti.

Antioksidan:

  • Melindungi sel dengan meneutralkan kesan kerosakan angkara radikal bebas dalam alam sekitar
  • Mengurangkan tekanan oksidatif, keadaan yang dikaitkan dengan banyak penyakit kronik

Anggur Hijau Juga Mengandungi Antioksidan

Ramai yang tidak tahu bahawa anggur hijau (putih) juga mengandungi antioksidan. Satu kajian yang dijalankan ke atas anggur hijau dan anggur merah baru-baru ini menunjukkan tahap kapasiti antioksidan (diukur dengan ORAC): anggur merah mempunyai kapasiti antioksidan 2016 manakala kapasiti antioksidan anggur hijau ialah 1789.

Hakikatnya, semua anggur, tidak kira warna, mengandungi antioksidan. Kelebihan anggur merah dan hitam hanyalah kandungan antosianin, iaitu sejenis fitonutrien yang bertanggungjawab mewujudkan pigmen merah dan biru dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.

Serba Sedikit Mengenai Nilai Kapasiti Antioksidan Seperti ORAC

Kuasa antioksidan makanan sering diukur berasaskan nilai ORAC, analisis tabung uji yang mengukur Kapasiti Penyerapan Radikal Oksigen atau Oxygen Radical Absorbance Capacity (ORAC). Bagaimanapun, adalah penting untuk memahami bahawa kapasiti antioksidan makanan tidak boleh diukur sepenuhnya dengan ORAC, dan ia tidak mencerminkan keupayaannya untuk mengubah status antioksidan dalam badan manusia.

Sungguhpun ujian ORAC mengukur aktiviti menentang sejenis radikal bebas – iaitu radikal peroksil – terdapat pelbagai jenis radikal bebas lain, dan terdapat banyak kaedah lain untuk mengukur aktiviti menentang mereka.  

Paling penting ialah sama ada antioksidan boleh diserap dan digunakan oleh badan atau bioavailable (tersedia secara biologi). Fitonutrien mempunyai tahap bioavailable yang berbeza selepas dimakan dan boleh menjejaskan proses biologi yang berlainan sebaik sahaja diserap ke dalam badan.

Justeru itu, jika diambil begitu sahaja, nilai ORAC hanya memberikan sebahagian daripada gambaran kapasiti antioksidan dan tidak menunjukkan manfaat kesihatan.

Antioksidan Anggur Boleh Diserap dan Digunakan oleh Badan Manusia

Kajian penyelidikan ke atas manusia membuktikan bahawa anggur membekalkan fitonutrien yang bukan sahaja mudah diserap dan digunakan, tetapi juga meningkatkan kapasiti antioksidan dalam badan manusia. Penyelidikan yang dijalankan oleh Dr. Ronald L Prior dari Pusat Pemakanan Kanak-Kanak Arkansas USDA juga menunjukkan bahawa anggur menunjukkan kecenderungan lebih kuat untuk menaikkan tahap antioksidan dalam badan manusia berbanding dengan yang ditunjukkan oleh buah-buahan antioksidan tinggi lain dalam kajian berasingan.

"Anggur benar-benar membekalkan dos antioksidan yang tinggi. Anda mungkin perlu mengambil lebih banyak makanan lain dengan kandungan antosianin yang tinggi untuk memperlihatkan kesan tahap antioksidan yang sama," kata Dr. Ronald L. Prior.

Apakah Selanjutnya?

Pelbagai kajian penyelidikan sedang dijalankan sekarang untuk mencari penemuan baru.  Penyelidikan sains mengambil masa, tetapi bukti saintifik yang menunjukkan khasiat kebaikan anggur dan kesannya ke atas kesihatan sudah diperkukuh.